Terpulang Peguam Negara ambil tindakan


30 OKT: Tiada siapa yang terkecuali atau terlepas dari undang-undang apabila didakwa mendedahkan rahsia kerajaan kepada umum.

Justeru itu kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa, terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan ke atas tiga bekas menteri yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan.

Katanya, saranan tersebut bukan dibuat atas kepentingan peribadi sebaliknya jika dakwaan itu patut disiasat dan tindakan itu harus diteruskan.

“Saya langsung tidak berdendam terhadap mereka bertiga. Mempertahankan ketua iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah tanggungjawab saya dan ianya normal.

“Oleh itu, saya mengambil langkah untuk berhadapan dengan tohmahan tiga menteri itu secara fakta dan bukannya dengan fitnah yang sekali gus membunuh karakter seseorang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Akar Umbi, di ibu negara, hari ini.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan yang kenyataan akan diambil daripada 3 bekas menteri Kabinet  berhubung dakwaan mendedahkan maklumat sulit kerajaan mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mereka ialah bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan bekas Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Mereka membuat kenyataan mengenai 1MDB di Dewan Rakyat ketika membahaskan Bajet 2017, yang kemudiannya ditegur speaker sebagai berkemungkinan melanggar sumpah kerahsiaan. - BNBBC NEWS

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA