Terpelanting Disondol Vios


SIBU: Seorang lelaki cedera parah selepas terpelanting dan terjatuh ke atas cermin hadapan kereta yang melanggar motosikalnya dari belakang di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, mangsa berumur 63 tahun bersama isterinya sebagai pembonceng dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Alan apabila motosikal yang ditunggangi mereka disondol sebuah kereta Toyota Vios.

Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan anggota badannya luka, manakala isterinya berumur 54 tahun yang terjatuh ke atas jalan raya juga cedera.

Pihak ambulans dari Hospital Sibu yang dimaklumkan oleh orang awam bergegas ke tempat kejadian untuk memberi rawatan awal kepada penunggang motosikal yang berlumuran darah.

Manakala, pemandu kereta terbabit yang berumur 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan itu juga menyebabkan bahagian hadapan kereta terbabit kemek dan motosikal mangsa masih berada dalam keadaan menegak kerana tayar belakangnya didapati tersangkut pada bampar kereta tersebut.

Kedua-dua mangsa tersebut kemudian dihantar ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan lanjut.

Sehingga berita ini ditulis, penunggang motosikal terbabit yang merupakan seorang bekas polis telah dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi (ICU) Hospital Sibu kerana kecederaan yang dialaminya agak serius.

Bagaimanapun, isteri mangsa yang juga mengalami kecederaan di kepala tetapi tidak serius telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo ketika dihubungi memberitahu satu laporan berhubung kemalangan tersebut telah diterima oleh pihaknya.

Kes tersebut masih dalam siasatan pihaknya, katanya.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA