Terkena Peluru Sesat Ketika Pasang Pukat

Gambar Hiasan
SIBU: Seorang lelaki warga Indonesia mengalami kecederaan di bahagian leher kiri dipercayai akibat terkena tembakan peluru sesat ketika hendak memasang pukat seorang diri di Sungai Ulu Sepundang, Menyan lewat petang kelmarin.

Difahamkan semasa kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 41 tahun berasal dari Riam Mengelai, Boyan Tanjung, Indonesia sedang memasang pukat seorang diri di sungai kecil kawasan terbabit.

Ketika mangsa sedang leka memasang pukat secara tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat yang agak jauh dan kemudian mangsa berasa kebas di bahagian leher dan mendapati lehernya berdarah.

Mangsa tidak menyedari dari mana datang bunyi letupan disyaki peluru sesat itu dilepaskan pemburu haiwan.

Sejurus selepas itu, mangsa terus pulang ke rumah panjangnya, Rumah Samy, Sungai Menyan terletak lebih kurang sejam setengah dari tempat kejadian menggunakan jalan ladang sawit.

Mangsa kemudian terus dihantar ke Hospital Sibu oleh isterinya untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari memberitahu bahawa pihaknya telah menerima laporan berhubung insiden terbabit dan kes masih dalam siasatan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA