Tentera Indonesia Ditahan Polis Guna Kenderaan Curi

gambar hiasan
KUCHING: Sekumpulan anggota Tentera Negara Indonesia (TNI) dari Markas Batalion TNI 312 Kala Hitam Indonesia ditahan Polis kerana dipercayai menggunakan kenderaan curi di Lubuk Antu, semalam.

Anggota-anggota TNI menggunakan kenderaan tersebut ketika berkonvoi bersama sepasukan angota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menaiki beberapa buah kenderaan lain dari Kem Penrissen Kuching ke Badau.

Blog Unreportednews melaporkan, Pasukan anggota ATM tersebut telah ditugaskan untuk menemani pasukan TNI hingga ke sempadan Sarawak-Indonesia.

Sumber Unreportednews mendedahkan konvoi tersebut kemudiannya berehat di Kem JPG Lubuk Antu namun ditahan oleh sepasukan polis yang membuat operasi berdekatan luar kem berkenaan apabila hendak menyambungkan perjalanan mereka lebih kurang jam 3:15 petang.

“Siasatan awal polis mendapati, salah seorang anggota TNI mendakwa mereka telah menyewa kenderaan tersebut dari seorang lelaki di sebuah rumah di Jaoi Babang, Indonesia pada hari Ahad lepas.

“Pemeriksaan lanjut polis juga mendapati kenderaan pacuan-empat-roda jenis Toyota Hilux telah menggunakan plat Indonesia KB9826LL (nombor palsu) dan nombor pendaftaran sebenarnya adalah QKW2061 yang telah dilaporkan hilang di Kota Samarahan baru-baru ini,” kata sumber itu dipetik sebagai berkata.

Menurutnya, kenderaan itu juga telah dipasang dengan peralatan pengesan GPS yang membolehkan pihak polis mengenalpasti lokasinya.

Bagaimana pun, kenderaan tersebut telah diserahkan kepada pihak Balai Polis Lubuk Antu untuk siasatan lanjut.- Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA