Temberang ‘Haji Ghaib’ Akhirnya Terbongkar…


JAKARTA: Temberang seorang penarik baca yang konon ghaib selama 44 hari untuk menunaikan haji di Makkah dengan bantuan jin peliharaanya akhirnya terbongkar selepas disoal siasat.

Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Kasrin, 60, dan menetap di wilayah Jawa Tengah itu tersilap menceritakan penipuannya kepada pegawai Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang menyamar.

Pegawai MUI Rembang, diketuai Zainudin Jafar bersama-sama dua ahli jawatan kuasa ke rumah Kasrin di Dukuh Gembul, Desa Sumberrejo, Kecamatan Pancur, hujung minggu lalu.

Portal berita Indonesia Tribunnews melaporkan, Zainudin menyamar sebagai tetamu dan bertanya kepada Kasrin berkenaan pelaksanaan hajinya, rukun serta keadaan di Makkah.

Ketika disoal, warga emas berkenaan dilihat seakan-akan kebingungan dan cuba mengubah persoalan tersebut kepada topik yang lain pula.

“Semua jawapan Kasrin meragukan dan dia juga tidak tahu rukun haji serta mendakwa tidak melihat Kaabah,” katanya.

Zainuddin kemudian cuba ‘memancing’ Kasrin dengan lebih dalam menerusi pelbagai pertanyaan sebelum memperkenalkan diri kepadanya.

“Kami kemudian memperkenalkan diri dan menasihati Kasrin supaya tidak menimbulkan keraguan kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, Kasrin terkejut apabila mengetahui mereka sebagai wakil dari MUI.

Penarik beca itu mendapat gelaran`Haji Mistik’ selepas dia hilang beberapa minggu sebelum muncul bersama rombongan penduduk yang pulang daripada mengerjakan haji.

Kisah Kasrin yang mendakwa dia ke Makkah mengerjakan haji secara ghaib dengan bantuan jin menaiki becanya, mendapat liputan meluas menyebabkan orang ramai tidak putus-putus datang untuk mendengar ceritanya.

Malah ada yang memintanya berdoa konon dapat disembuhkan daripada penyakit serta diberi kebahagiaan hidup.–MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA