Taufan Sarika tidak landa Sabah - Meteorologi


KUALA LUMPUR: Taufan Sarika yang dikesan 1,248 km ke timur laut Sandakan, Sabah pada 8 malam Jumaat lalu tidak akan melanda Sabah, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata pencerapan pada 5 petang (15 Oktober), menunjukkan Taufan Sarika berada di Timur Filipina pada latitud 15.0 Utara, longitud 123.4 Timur sedang bergerak ke arah Barat-Barat Laut dengan kelajuan 15km sejam menuju ke arah Pulau Luzon.

"Kewujudan Taufan Sarika telah menyebabkan kejadian angin kencang dan laut bergelora di kawasan Utara perairan Selat Melaka, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Jumaat lalu (14 Oktober) dilaporkan bahawa angin kencang Barat Daya berkelajuan 40 hingga 50km sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di beberapa kawasan perairan Malaysia bermula 15 hingga 19 Oktober ini," menurut kenyataan jabatan itu.

Kawasan yang terlibat adalah perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, Sarawak (Rejang, Mukah, Bintulu dan Miri), Labuan dan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan).

Sementara itu, orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia http://www.met.gov.my, aplikasi telefon pintar: myCuaca, Facebook: malaysiamet, Twitter: @malaysiamet atau di talian 1300221MET(1638). - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA