Taufan Matthew: Rakyat Malaysia Bernasib Baik


PETALING JAYA: Pelajar Malaysia, Syahirah Abd Razak antara yang bernasib baik.

Beliau merupakan penuntut Sarjana di Universiti South Florida yang berpangkalan di Tampa, Florida, antara kawasan yang terjejas teruk akibat Taufan Matthew.

Taufan itu menggorbankan kira-kira 300 nyawa di Haiti.

Malah berjuta-juta rakyat Amerika antara yang tertakluk kepada arahan pemindahan tetapi Tampa, tempat tinggalnya tidak terjejas teruk berbanding beberapa bahagian lain di negara itu.

Syahirah berkata pihak berkuasa mengeluarkan amaran cuaca pada Khamis dan Jumaat dengan sekolah dan universiti juga diarahkan tutup.

"Berlaku angin kencang selama dua hari itu tetapi saya tidak takut atau panik.

"Sejak itu, situasi menjadi lebih baik di Tampa," kata wanita berusia 31 tahun yang berada di Florida bersama suami dan dua anaknya yang berusia dua dan lima tahun.

Syahirah berkata Tampa ditetapkan sebagai pusat pemindahan untuk mangsa taufan di Orlando yang terletak kira-kira 135 kilometer dari sini.

Kesan kuat taufan di Orlando menyebabkan taman tema Disney World ditutup buat pertama kalinya dalam tempoh 11 tahun.

Syahirah berkata taufan Matthew merupakan taufan kedua melanda Florida selepas Taufan Hermine awal bulan ini.

"Taufan Hermine lebih kuat berbanding Matthew di Tampa kerana saya boleh nampak pokok tercabut bersama akarnya dan terbang dibawa angin kuat," kata Syahirah.

Menurut Syahirah, dia menyimpan bekalan makanan dan air selama seminggu di rumah walaupun pasar raya masih dibuka seperti biasa.

Sementara itu, Ahmad Fitri Amir, 33, pelajar PhD di Universiti Florida berkata Gainesville iaitu lokasi universitinya terjejas teruk akibat Taufan Matthew.

"Saya sebenarnya berlepas ke Chicago sehari sebelum taufan melanda kerana saya ada kerja yang perlu dilakukan di sana," katanya.

Pegawai Atase Pendidikan Malaysia di Washington, Mazwan Manan berkata dua pelajar Malaysia - seorang dari Universiti Embry Riddle di Florida dan seorang lagi dari Kolej Kesenian dan Reka Bentuk Savannah di Georgia telah dipindahkan ke Gainesville untuk keselamatan.

"Mereka kini tinggal bersama dengan pelajar PhD dan ahli keluarga mereka di Universiti Florida di Gainesville dan berada dalam keadaan selamat," katanya.- mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA