Taufan Matthew: Obama Isytihar Darurat Di Florida


WASHINGTON: Presiden Barack Obama mengisytiharkan darurat di Florida ketika Taufan Matthew semakin kuat dan menuju ke tenggara negara itu, kata Rumah Putih.

Tindakan itu memberi kuasa kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan menyelaraskan usaha bantuan bencana yang disebabkan ribut Kategori Empat itu, yang membawa kekuatan angin mencecah 220 kilometer sejam.

Menyebabkan hampir 300 kematian apabila membadai kepulauan Caribbean, Taufan Matthew bergerak menuju ke Florida yang padat dengan penduduk dengan angin selaju 225 kilometer sejam pada Khamis, dan dua juta penduduk seluruh tenggara Amerika Syarikat diberi amaran supaya berpindah.

Ia adalah ribut paling kuat mengancam pantai Atlantik Amerika dalam masa lebih sedekad.

Taufan berkenaan semakin kuat ketika menghampiri, meningkat daripada ribut Kategori Tiga kepada Kategori Empat menjelang pagi.

Ia dijangka melanda hampir keseluruhan pantai Atlantik Florida bermula petang Khamis. Taufan Matthew memaksa jutaan penduduk Florida, Georgia dan Carolina Selatan berpindah untuk tujuan keselamatan dan lebuh raya ditukar menjadi laluan sehala untuk mempercepatkan pergerakan. - AGENSI

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA