Taktik Tutup Balak Haram Dengan Kanvas Terbongkar Di Sibu


SIBU: Taktik menutup bahagian muatan kayu balak haram menggunakan kanvas berjaya dihidu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10 berdekatan sebuah kedai makan di jalan menuju ke Bawang Assan petang kelmarin.

Operasi diketuai Pegawai Cawangan Risik Inspektor Mohd Hafizhazman bersama lima anggota Jabatan Hutan Sarawak Cawangan Sibu diketuai Mohamad Ali Ibrahim Astar merampas sebuah lori model Nissan Diesel yang membawa muatan 40 batang kayu balak pelbagai saiz dan jenis.

“Hasil pemeriksaan pada jam 2.30 petang kelmarin, mendapati muatan yang ditutup dengan kanvas itu dipercayai kayu balak haram kerana tidak mempunyai nombor dan cop pada kayu balak.

“Manakala pemeriksaan ke atas lori terbabit mendapati lori berkenaan tiada cukai jalan dipamer dan kami tidak membuat sebarang tangkapan kerana tiada pemandu di dalam lori,” jelasnya.

Ketika ditemui pemberita di Kem PGA Lanang semalam, Mohd Hafizhazman berkata, sebuah lori model Nissan Diesel dan 40 batang kayu balak haram pelbagai saiz dan jenis telah dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM120,000.

“Kami telah membuat laporan di Balai Polis Sentral Sibu dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak Cawangan Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA