Tak Sanggup Tengok Wajah Ayah Ketika Tersingkir - Rahila AF2016


SHAH ALAM: Peserta berasal dari Singapura, Rahila kecewa dan sedih apabila diumumkan tersingkir pada minggu ke tujuh program realiti Akademi Fantasia 2016 (AF2016), malam Ahad lalu.

Rahila atau nama sebenarnya Nurul Rahila Rashun, 20, berkata, perasaan tersebut timbul kerana gagal memenuhi harapan keluarga yang banyak berkorban untuk dia menyertai program realiti tersebut.

"Sudah tentu saya rasa sedih dan kecewa kerana saya tinggal selangkah sahaja lagi untuk menuju peringkat akhir. Saya tidak sanggup melihat wajah ayah ketika pengacara umumkan nama saya tersingkir.

"Saya sedih kerana sebelum menyertai AF2016, saya terpaksa meminjam duit ayah dan kakak sebanyak kira-kira RM7,500 semata-mata terpaksa membayar kepada pihak hospital kerana saya menamatkan kerja sebelum tamat kontrak," ujarnya kepada mStar Online.

Rahila sebelum ini bekerja sebagai jururawat di Hospital Tan Tock Seng, Singapura selama lebih setahun.

Rahila dan Zarol diumumkan tersingkir pada konsert ketujuh AF2016 yang berlangsung di Auditorium MBSA, di sini, malam Ahad.

Rahila membawakan lagu Cheap Thrills dan Senja Nan Merah bersama penyanyi Black mendapat undian terendah pada malam berkenaan sekaligus gagal mara ke final minggu hadapan.


Bagaimanapun, Rahila menganggap dia sudah melakukan persembahan yang terbaik dan tersingkir secara bermaruah.

"Saya ingat kata-kata cikgu, jika keluar atau tersingkir pun biarlah secara bermaruah dan bukan kerana persembahan yang gagal.

"Saya sudah lakukan yang terbaik, malah saya bangga dengan pencapaian saya hingga ke tahap ini," ujarnya.

Sementara itu, katanya, dia tidak akan berpatah balik dan akan meneruskan hasratnya untuk berada dalam industri muzik.

"Insya-Allah, saya akan terus berjuang dalam industri muzik di sini dan saya sudah rakam single ciptaan Hang Nadim iaitu Akim Ahmad yang sepatutnya dinyanyikan jika sampai peringkat final," ujarnya.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA