Tak Perlu Tukar Pasport Jika Gemuk Jadi Kurus


KUALA LUMPUR: Pemegang pasport Malaysia dinasihatkan menghubungi pihak kedutaan Malaysia di negara yang dilawati jika berhadapan dengan masalah dokumen perjalanan tersebut termasuk berkaitan perbezaan wajah pada gambar dan keadaan sebenar.

Jurucakap Jabatan Imigresen berkata, itu merupakan langkah terakhir jika usaha penerangan dan meyakinkan pegawai bertugas di pintu masuk sesebuah negara menemui jalan buntu.

Jelas jurucakap itu pasport negara mengandungi ciri-ciri keselamatan tinggi termasuk biometrik yang boleh mengesahkan seseorang itu adalah pemilik dokumen rasmi tersebut.

“Malahan, pasport Malaysia menepati piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Beliau mengulas keluhan seorang individu yang terpaksa melalui tempoh sukar apabila ditahan lebih 30 minit oleh pegawai Imigresen Hong Kong ketika ingin memasuki negara berkenaan baru-baru ini.

Masalah yang dikongsi beliau menerusi laman Facebook dan mendapat perhatian netizen itu berlaku hanya kerana gambar pada pasport tidak sama dengan wajah sebenar yang telah kurus selepas mengikuti diet selama dua bulan.

Jurucakap Jabatan Imigresen berkata, perubahan bentuk fizikal seseorang daripada gemuk kepada kurus atau sebaliknya tidak memerlukan individu terbabit menukar pasport baharu.

“Adalah menjadi satu kesukaran kepada pemegang pasport untuk menukar pasport setiap kali berlaku perubahan fizikal dari gemuk ke kurus atau sebaliknya.

“Jika dia berada di luar negara, kita nasihatkan mereka yang menghadapi masalah berkaitan pasport untuk menghubungi kedutaan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

- Utusan Malaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA