Tagih Janji China


MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semalam berharap nelayan negara itu boleh kembali menangkap ikan di perairan berhampiran Beting Scarborough yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Duterte kelmarin mengesahkan isu Beting Scarborough dibincangkan ketika lawatan empat hari ke China yang bertujuan membuka jalan untuk satu hubungan komersial baru ketika hubungan Manila dengan Amerika Syarikat (AS) semakin renggang.

“Kita tunggu beberapa hari lagi, mungkin kita boleh kembali ke Beting Scarborough,” kata Duterte di Tuguegarao City, ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa taufan baru-baru ini.

Masih tidak jelas adakah ini bermakna China memberi petanda bahawa ia akan menamatkan kepungan selama empat tahun di kawasan itu.

“Saya tidak pasti adakah mereka akan mengotakan janji itu,” jelasnya.

Dua sumber China memberitahu Reuters, Beijing mempertimbangkan untuk membenarkan nelayan Filipina kemasukan bersyarat ke wilayah yang menjadi pertikaian selepas presiden kedua-dua negara itu bertemu.

China menawan Beting Scarborough pada 2012 dan menghalang nelayan Filipina menangkap ikan di kawasan itu.

Filipina membawa pertikaian itu ke Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague, Belanda yang pada Julai lalu menolak tuntutan China terhadap kebanyakan wilayah di Laut China Selatan.

Beijing menganggap keputusan itu sebagai tidak bermakna dan tidak sah tetapi menggesa perbincangan terus dengan negara yang terbabit dalam pertikaian itu bagi mencari penyelesaian aman.

“China berkata, kawasan itu milik mereka. Saya juga memberitahu mereka ia milik kita,” tambah Duterte.

Beijing mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai wilayah mereka dan mempunyai tuntutan bertindih dengan beberapa negara, termasuk Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.-REUTERS

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA