Syor KWSP Benar Keluar Caruman Lebih Tinggi


KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan sedang berbincang dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan tabung persaraan itu memberi sedikit keanjalan membenarkan pencarum mengeluarkan jumlah wang yang lebih besar bagi pembelian kediaman pertama

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata keanjalan yang dimaksudkan itu termasuk membenarkan peratusan lebih tinggi dapat dikeluarkan pencarum bagi meningkatkan keupayaan mereka membuat bayaran ansuran bulanan.

"Kami melihat kepada peratusan tertentu yang kita boleh tinjau bagaimana KWSP boleh membenarkan pencarum menggunakan sebahagian daripada caruman untuk meningkatkan keupayaan membayar ansuran.

"Mereka ini berkemampuan mendapat pinjaman bank tetapi ada jurang bersandarkan (kadar) gaji semasa.

"Sehubungan itu, kita harap dengan sumbangan KWSP, mereka dapat keluarkan wang bagi menampung ketidakcukupan itu," katanya sambil menjelaskan cadangan itu khusus kepada pembeli kediaman pertama dan kediaman itu mestilah dalam kategori mampu milik.

Beliau berkata demikian pada Sesi Perbincangan Meja Bulat bertemakan Ekonomi Malaysia hari Ini - Cabaran, kelemahan dan Daya Tahan, serta Langkah Pemulihan anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini, semalam.

Sama model sedia ada
Johari berkata, cadangan itu sama seperti model sedia ada yang membenarkan pencarum mengeluarkan wang untuk dilabur dalam unit amanah.

"Sekiranya, pada peringkat tertentu, mereka mahu menjual kediaman itu, hasil jualan itu harus dimasukkan semula ke dalam akaun KWSP mereka," katanya.

Menerusi peraturan semasa, pembeli kediaman boleh mengeluarkan sehingga 30 peratus daripada Akaun 2 KWSP bagi membiayai pembelian kediaman. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA