Syarikat Mangsa Godam, Jutaan Ringgit Dicuri

PETALING JAYA: Beberapa kotak yang dikatakan sebagai perisian antivirus dihantar ke dua cawangan agensi pengiriman wang di Kuala Lumpur dan Muar pada hari bekerja, Jun lalu.

Menurut nota pada kotak berkenaan, yang kononnya daripada ketua pegawai eksekutif memberitahu penyelia bahawa syarikat sedang menaik taraf keselamatan dan meminta mereka supaya memasang cakera tersebut di setiap komputer di pejabat.

Dua cawangan itu sepatutnya membuat semakan sama ada nota dan kotak-kotak itu benar-benar datang dari ibu pejabat.

Tetapi sebenarnya bukan, ia daripada penggodam.

Dan pada satu hujung minggu, penggodam bertindak memindahkan sejumlah besar wang mencecah RM6 juta daripada cawangan mereka kepada pengirim wang di Paraguay, China dan beberapa bahagian di Eropah.

Rupa-rupanya kedua-dua cawangan itu telah memasang akses ‘pintu belakang’ bagi membolehkan penggodam memasuki setiap aspek dalam rangkaian mereka.

Mereka mengambil masa sebulan untuk mengkaji mengenai proses opersi memindahkan wang bagi syarikat itu.

Mereka kemudiannya melancarkan misi pada satu hujung minggu semasa tiada seorang pun berada di pejabat.

Hanya pada Isnin, para pekerja syarikat itu menyedari sejumlah wang telah dipindahkan daripada komputer masing-masing.

Wang itu telah dipindahkan menerusi pihak antarabangsa sebelum mereka menyedari mereka telah digodam, kata pengarah eksekutif LE Global Services, Fong Choong Fook di firma keselamatan siber persendirian yang menugaskan penggodam untuk menguji keselamatan rangkaian di bank-bank utama.

Lebih banyak syarikat di Malaysia yang menjadi mangsa penggodam yang berperanan sebagai pencuri.

Dipercayai mereka mencuri sekurang-kurangnya RM1 bilion daripada ekonomi negara pada 2014, dengan hanya menggunakan komputer.

“Mangsa-mangsa bukan hanya syarikat kecil tetapi juga organisasi besar dan bank.

“Bagaimanapun, anda tidak mendengar perkara seperti ini kerana mereka tidak mahu membuat laporan mengenai server atau komputer mereka telah digodam, kerana ia akan menjejaskan imej mereka,” kata Fong.-MS.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA