Suspek Militan: PDRM tunggu laporan penuh Filipina


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum dapat mengesahkan rakyat Malaysia yang ditahan di pelabuhan Pekan Maluso, Selatan Filipina awal bulan ini, terbabit kegiatan militan atau sebaliknya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya belum menerima laporan penuh daripada pihak berkuasa negara itu berhubung penahanan suspek dikenali sebagai Ahmad Tarmizi Mohamad Sayuti, berusia awal 30-an berasal dari Kelantan.

"Maklumat awal mengatakan suspek adalah seorang penuntut bidang agama, justeru kita belum dapat pastikan sama ada dia ke sana (Selatan Filipina) dengan tujuan mendalami ilmu agama atau berlatih menjadi pejuang militan dengan kumpulan Abu Sayyaf.

"Kita tidak dapat sahkan yang dia adalah anggota militan atau sebaliknya, kita masih tunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa Filipina. Namun risikan kita mendapati suspek bukanlah pakar bom seperti yang didakwa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Khalid sebelum itu menyempurnakan majlis graduasi kursus 'Service Excellence Delivery In Acion' (SEDIA) dan menyampaikan sijil tamat kursus kepada 68 peserta terdiri daripada pegawai dan anggota dari Balai Polis Brickfields dan Balai Polis Taman Tun Dr Ismail di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Media Filipina sebelum ini melaporkan, Ahmad Tarmizi atau juga dikenali sebagai Mohamas Amin ditahan ketika cuba menyusup keluar dari Filipina melalui pelabuhan Pekan Maluso pada jam 4 pagi 8 Oktober lalu.

Pihak berkuasa Filipina dilaporkan masih menyiasat sama ada suspek diberi latihan oleh tentera militan Abu Sayyaf kerana ketika ditahan, suspek dikatakan ditemui bersama bahan-bahan untuk membuat bom buatan sendiri (IED).

Suspek kini berada di bawah tahanan pihak berkuasa di sana.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA