Suspek Iklan Porno Ditangkap


JAKARTA: Seorang lelaki yang ditahan kerana menggodam papan iklan elektronik sebelum menyiarkan filem lucah ketika waktu puncak di bandar raya ini berdepan dengan hukuman penjara enam tahun.

Filem Jepun berjudul ‘Watch Tokyo Hot’ disiarkan selama 10 minit menerusi papan iklan itu di simpang utama di Jakarta Jumaat lalu, memeranjatkan pengguna jalan raya.

Bekalan elektrik ke papan iklan yang dikenali penduduk tempatan sebagai ‘videotron’ itu diputuskan serta merta, tetapi hanya selepas babak satu pasangan melakukan adegan berahi dirakam oleh pengguna menerusi telefon bimbit mereka dan menjadi viral di media sosial.

Polis dan pakar jenayah siber melancarkan gerakan memburu penggodam itu dan menahan seorang lelaki, pakar teknologi maklumat berusia 24 tahun di pejabatnya Selasa lalu.

Indonesia menyekat akses ke semua laman pornografi sementara babak romantik dalam filem dan program televisyen sering kali dikabur atau dipotong oleh pihak berkuasa penapis filem.

Lelaki terbabit Samudera Al Hakim Ralial mengaku bertanggungjawab terhadap jenayah itu, kata Ketua Polis Jakarta, Mochamad Iriawan.

“Dia melakukannya seorang diri. Tetapi kami masih menyiasatnya, termasuk motifnya,” kata Mochamad.-AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA