Suspek Berang Mangsa Sudah Bertunang!


POLIS mendedahkan mangsa yang ditemui meninggal dunia dalam sebuah spa di Jalan Mat Salleh, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad lalu, sudah bertunang.

Mangsa, Norfazlina Abantas, 20, ditemui dalam keadaan berlumuran darah selepas diserang dan dicekik seorang tukang urut yang dipercayai berang selepas lamarannya ditolak.

Difahamkan, suspek tidak mengetahui mangsa yang bekerja di spa berkenaan sudah bertunang, namun tidak didedahkan tempoh pertunangan itu.

Susulan kejadian itu, dua lelaki ditahan termasuk suspek utama yang berusia 25 tahun dan seorang rakannya berusia 28 di Kota Marudu, Sabah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata, siasatan polis mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek utama apabila mangsa menolak pelawaannya untuk berkahwin.

“Kejadian ini lebih bermotifkan cemburu kerana mangsa telah bertunang.

“Kami berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh lebih kurang 36 jam selepas kedua-dua suspek termasuk suspek utama ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chandra berkata, kedua-dua suspek positif dadah jenis Syabu dan tidak mempunyai rekod jenayah.

Dalam kejadian Ahad lalu, mayat Norfazlina ditemui oleh majikannya dalam keadaan terbaring dengan darah keluar daripada mulut di spa berkenaan, kira-kira pukul 11.30 pagi.

Laporan bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan sesak nafas dipercayai akibat dicekik selain mengalami kecederaan pada bahagian gusi atas dan patah tulang hidung serta tercabut sebatang gigi atas, dipercayai akibat hentakan benda tumpul.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA