Sungai Di Sarawak Tercemar Akibat Kelemahan Penguatkuasaan



KUCHING - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata, kelemahan penguatkuasaan menyebabkan sungai di Sarawak tercemar.

"Saya ingin mempertahankan sungai-sungai kita. Banyak sungai-sungai kita sekarang jadi 'kopi susu' oleh kerana pembalakan, penggunaan tidak sesuai serta ditambak macam itu sahaja seterusnya menghalangkan aliran semula jadi sungai.

"Berlaku kekurangan penguatkuasaan, undang-undang ada tetapi tidak ada penguatkuasaan, kita mesti tanganinya," katanya.

Beliau berkata, demikian ketika merasmikan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2016 Peringkat Kebangsaan di Tebingan Sungai Kuching hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Adenan berkata, perubahan iklim yang dialami dunia ketika ini menyebabkan ramalan cuaca kadang kala tidak tepat.

"Kalau kita jaga alam sekitar, alam sekitar akan jaga kita. Banyak sudah negeri-negeri yang menerima kesan negatif akibat perubahan iklim dunia.

"Di Sarawak kita telah laksanakan beberapa perkara untuk mengawal kesan perubahan alam sekitar seperti tiada lagi konsesi balak dan tiada lagi ladang komersial, cukup dengan yang sedia ada supaya kita dapat mempertahankan hutan yang menjaga kita," katanya.

Pada majlis itu, Adenan turut menyampaikan Anugerah Langkawi kepada Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin bagi kategori individu dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor bagi Kategori Pertubuhan/Organisasi.

Mereka menerima sijil pengiktirafan yang ditandatangani oleh Yang Dipertuan Agong, plak penghargaan dan wang tunai sebanyak RM10,000. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA