Sultan Brunei lawat Malaysia


PETALING JAYA - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Malaysia untuk lawatan tiga hari mulai semalam.

Baginda tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, dekat sini pada jam 12.11 tengah hari diiringi permaisuri, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha serta pegawai kanan kerajaan.

Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar selaku menteri pengiring.

Sejurus selepas pesawat khas baginda mendarat, baginda memeriksa perbarisan kehormat yang dianggotai dua pegawai dan 26 anggota Batallion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Kapten Safwan Jaafar.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan rasmi Sultan Hassanal itu adalah sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-20 antara Malaysia dan Brunei.

“Rundingan ini acara penting dalam kalender tahunan bagi kedua-dua negara, ia adalah platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Brunei menjadi tuan rumah bagi Rundingan Tahunan Ke-19 di Bandar Seri Begawan pada 11 Ogos, tahun lalu.

Siri Rundingan Tahunan Antara Ketua-Ketua Kerajaan Malaysia dan Brunei diadakan secara bergilir antara kedua-dua negara.

Wisma Putra berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan lawatan Sultan Brunei itu sebagai susulan kepada rundingan tahun lalu dalam usaha untuk terus memupuk dan mengukuhkan lagi kerjasama yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Brunei.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijadual meraikan Sultan Brunei Sultan Hassanal dan Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha pada majlis jamuan tengah hari di Seri Perdana, Putrajaya hari ini. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA