Spekulasi China jamin keluar SRC sengaja cetuskan kontroversi


PETALING JAYA: Spekulasi penjualan aset oleh bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International, ditepis sebagai usaha pihak tertentu untuk mencipta kontroversi.

Sumber Kementerian Kewangan menepis spekulasi laporan berita Singapura yang menguar-uarkan China mahu mengambil alih aset SRC untuk melangsaikan beban hutang syarikat itu.

“Mengapa China perlu jamin keluar SRC semata-mata untuk melangsaikan hutang pokok RM600 juta dan bayaran faedah bagi tahun 2017? Sedangkan jumlah itu boleh diperoleh dari dalam negara dan luar negara,” kata sumber kementerian itu kepada FMT hari ini.

Akhbar Straits Times Singapura hari ini melaporkan perunding daripada Kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan China mengambil alih aset SRC International bagi memperoleh modal baharu yang akan membantu membiaya pinjaman 10 tahun SRC yang bernilai RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Sumber bagaimanapun memberitahu: “Ini satu lagi cubaan untuk mencipta kontroversi sedangkan tiada apa pun.”

Straits Times berkata SRC membayar RM164 juta faedah tahunan kepada KWAP, tetapi perlu membayar RM660 juta tahun depan, dan RM964 juta pada 2018, dalam usaha untuk menyusutkan nilai baki hutang pokok.

Ia memetik seorang eksekutif kewangan yang terbabit dalam penstrukturan korporat di 1MDB yang berkata salah satu pilihan untuk menyelesaikan krisis hutang itu adalah menjual aset dan liabiliti syarikat.

Tetapi sumber memberitahu: “Nampaknya individu terbabit tidak berminat untuk mencari cara membantu ekonomi Malaysia sebaliknya mencipta teori palsu untuk menjatuhkan kerajaan dan negara.”

Laporan itu berkata, memetik laporan tahunan SRC 2014, syarikat memiliki RM305.6 juta pelaburan di Malaysia dan RM3.8 bilion lagi di luar negara, dan melaporkan kerugian RM164.5 juta bagi tahun berakhir Mac 2014. - FMT

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA