Sos Cili Geronong Sarawak


Sebut sahaja sos cili, ramai akan membayangkan sos pekat berwarna merah sedap dimakan sebagai pencicah, mahupun penambah perisa dalam masakan.

Sos cili yang kebanyakan di pasaran menggunakan cili merah, mudah didapati di kedai runcit atau pasar raya.

Melihat cili merah yang biasanya digunakan sebagai bahan utama dalam penghasilan sos, seorang anak muda tempatan, Ahmad Shafiq Ahmad Sabirin mencipta kelainan apabila mengeluarkan sos cili berasaskan cili geronong (Habanero Hot Sauce), menerusi jenama Hyefiq.

Cili geronong merupakan cili yang mudah didapati dan hidup subur di Sarawak, berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Ahmad Shafiq yang juga Pengurus Hyper Fertigation Enterprise berkata, idea mencipta sos cili geronong tercetus apabila dia mengikuti program di Sarawak, ‘Lan Berambeh Anak Sarawak’, dua tahun lalu.

“Dalam program itu, saya promosikan jeruk cili merah dan cili geronong. Saya lihat, ramai yang tertarik dengan produk cili geronong, berbanding cili merah dan permintaan jeruk cili gerong juga tinggi.

“Bermula dari situ, saya memikirkan idea mengkomersialkan produk berasaskan cili geronong, yang kerap dan boleh diguna semua,” katanya.

Akhirnya, Ahmad Shafiq mendapat ilham menghasilkan sos cili geronong kerana permintaan sos yang tinggi disebabkan penggunaan yang meluas dan kegemaran ramai.

Dengan bantuan ibunya, Ahmad Shafiq membuat pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi memastikan ia memenuhi cita rasa masyarakat tempatan, iaitu pedas dan manis.

“Berkali-kali kami cuba hasilkan sos cili geronong, sehinggakan terasa seperti ‘terbakar’ lidah.

“Bila kami sudah boleh terima dengan rasanya, kami beri pada orang ramai untuk merasainya sendiri dan mula menjualnya selepas mendapat reaksi positif,” katanya.

Bermula dengan 60 botol besar pengeluaran sebulan pada peringkat awal perniagaan, kini Hyper Fertigation Enterprise mampu menghasilkan 10,000 botol kecil sebulan.

“Pada peringkat awal, sos ini dibuat di rumah secara manual, sebelum menyewa sebuah kilang mini di Kuching, Sarawak, bagi meluaskan operasi perniagaan.

“Saya tidak menyangka sambutannya begitu menggalakkan. Kini, sos ini dibuat menggunakan mesin bagi meningkatkan kapasiti pengeluarannya,” katanya.

Sos cili geronong jenama Hyefiq didatangkan dalam empat jenis iaitu ekstra pedas, pedas manis, pedas masam dan lada hitam.

Paling pedas di dunia

Cili geronong terkenal sebagai cili paling pedas di dunia.

Disebabkan itu, sos cili geronong keluaran Hyper Fertigation Enterprise juga mempunyai rasa pedas tinggi, berbanding sos cili biasa di pasaran.

Ahmad Shafiq berkata, tahap kepedasan cili geronong adalah semula jadi tinggi, sesuai untuk mereka yang gemarkan makanan pedas.

“Aroma cili geronong pula lebih wangi daripada cili-cili yang lain.

“Sos ini boleh dimakan dengan pelbagai jenis makanan atau untuk masakan dan lain-lain,” katanya.

Menurutnya, cili geronong yang digunakan untuk menghasilkan sos itu segar dari ladang seluas 0.40 hektar di Sarawak, yang diusahakan syarikat itu, dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sarawak, Fama Sarawak dan Unit Pembangunan Usahawan Negeri Sarawak.

“Ladang ini mempunyai 6,000 pokok cili geronong, yang mampu menampung bekalan kami untuk tempoh setahun.

“Ada masanya, ladang kami dilanda banjir, jadi pada pada masa ini, kami akan mengambil bekalan cili geronong dari pekebun-pekebun kecil di kawasan sekitar,” katanya.

Sos keluaran Hyper Fertigation Enterprise itu merupakan produk pertama berasaskan cili geronong, di Malaysia dan produk itu juga menerima Anugerah Produk Inovasi, sempena program Gabungan Rakan Usahawan Aspirasi Terhebat (Great) oleh Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), pada April lalu.

Rancang luas pasaran

Pada masa kini, sos cili geronong Hyefiq banyak dijual di sekitar Sabah dan Sarawak, menerusi empat ejennya.

Selain itu, Ahmad Shafiq berkata, Hyper Fertigation Enterprise juga menggunakan platform atas talian (online) untuk memasarkan produknya di Semenanjung Malaysia.

“Kami bercadang untuk membawa masuk produk kami di pasar raya besar di seluruh negara supaya lebih ramai dapat merasai keenakan sos cili geronong ini.

“Kami juga sudah bersedia untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran produk bagi memenuhi jumlah permintaan,” katanya.

Selain mengeluarkan produk sendiri, Hyper Fertigation Enterprise juga membuat pengeluaran kelengkapan tulen (OEM) untuk tiga buah syarikat dan membekalkan sos ini di tiga buah restoran di sekitar Sarawak. - SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA