Sokong Usaha Tok Nan Kembalikan Hak Sarawak Secara Lebih Serius


KUCHING: Usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem atau lebih popular dengan panggilan Tok Nan berjuang mengembalikan hak Sarawak yang terhakis akibat kehendak Perlembagaan Malaysia 1963 dan pandangan 'Inter Government Comitee' yang tidak dipenuhi sepenuhnya sejak merdeka sudah pasti menggembirakan rakyat Sarawak termasuk Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

ADUN Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, kandungan dokumen penting penubuhan Malaysia wajar diteliti selalu selain perlu disemak setiap 10 tahun.

"Nampaknya ia hanya pernah disemak sekali sahaja sekitar tahun 1974. Selepas itu, diam membisu hilang daripada radar rakyat sedangkan Malaysia sudah terbentuk lebih 50 tahun," katanya.

Bagi menjadikan perjuangan Tok Nan tercapai menurutnya, sokongan dan usaha terbuka perlu dilakukan tanpa menafikan wujud usaha serius di peringkat pimpinan utama negara.

"Hal ini perlu dilakukan agar proses ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan salah sangka," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, beberapa persoalan utama timbul bagi memenuhi keperluan memperbetulkan kembali kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia yang perlu diambil kira termasuk sekiranya pindaan perlembagaan 1976 yang menurunkan taraf Sarawak itu telah berlaku 40 tahun lalu adalah sah di Parlimen, apakah pindaan itu pernah dibawa untuk pengesahan Dewan Undangan Negeri (DUN)?

Jika ya dan diterima maka pindaan itu sah. Jika tidak maka jelas pindaan itu bertentangan dengan MA1963 yang merupakan International Treaty yang mempunyai peraturan sendiri, jika ia pernah diterima oleh DUN Sarawak, maka DUN yang sama perlu bertindak menolaknya kembali dengan usul yang baharu dikemukakan dan Jika pindaan itu tidak pernah di bawa ke DUN Sarawak maka ahli parlimen perlu mencadangkan pindaan pembatalan terhadap Artikel Perlembagaan yang jelas bertentangan dengan MA1963 yang tidak boleh diubah suai tanpa persetujuan pihak yang terlibat dengan perjanjian itu.

Jelas Juanda, perkara tersebut yang dibangkitkan Tok Nan yang perlu disokong dan diperjuangkan.

"Sekarang terserah kepada ahli parlimen dan ADUN untuk menilai perkara ini dan tindakan selanjutnya. Kalaulah pihak di Malaya sedang sibuk dengan pindaan RUU355 yang hangat diperkatakan sejak sidang parlimen lalu, maka sewajarnya pihak di Sarawak (sebagai memenuhi kehendak rakyat dan perjuangan Tok Nan) hendaklah ada inisiatif untuk memperbetulkan keadaan hakisan kuasa negara Sarawak yang telah berlaku sejak 1976.

"Sejarah akan mencatatkan langkah ini dan zuriat keturunan kita yang akan mendapat kesannya," jelasnya,-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA