Sibu Dilanda Ribut Kencang, Pokok Tumbang


SIBU: Ribut kencang melanda beberapa kawasan di sini petang semalam mengakibatkan insiden pokok tumbang.

Salah satu daripada kejadian itu berlaku di Jalan Pedada di sini apabila pokok terbabit menghempap bahagian hadapan sebuah kereta jenis Toyota Avanza.

Insiden berlaku sekitar jam 4 petang itu turut mengakibatkan laluan jalan berkenaan sesak.

Namun pemilik kenderaan yang merupakan seorang lelaki dilaporkan terselamat daripada mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, satu lagi kejadian pokok tumbang berlaku di Jalan Nibong Tada di sini apabila pokok terbabit dilaporkan menghempap kabel elektrik sehingga menyebabkan bekalan elektrik di kawasan itu terputus.

Sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan orang awam sekitar jam 6.17 petang dan operasi mengalihkan batang pokok tumbang berakhir kira-kira sejam kemudian.

Bomba turut menghubungi SESCO untuk membantu memulihkan semula bekalan elektrik.

Di Jalan Tun Abang Haji Openg di sini, sebuah kereta dilaporkan terbalik akibat tiupan angin.

Namun tiada sebarang pengesahan sehingga berita ini ditulis berhubung insiden pelik tersebut yang kini menjadi viral di media massa termasuk aplikasi Facebook.

Sementara itu, kejadian pokok tumbang turut berlaku di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo mengesahkan perkara itu berkata insiden terbabit berlaku sekitar jam 4.50 petang.

“Ia membabitkan pokok bersaiz sederhana sahaja namun tiada kerosakan teruk berlaku akibat insiden itu,” katanya semasa dihubungi Utusan Borneo semalam.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA