Siasatan Kebakaran HSA Dijangka Selesai 1 Minggu


JOHOR BAHRU – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menjelaskan pihaknya akan menerima laporan siasatan berhubung kejadian kebakaran di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) dalam tempoh seminggu lagi.

Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat memerlukan tempoh satu minggu bagi menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kejadian sebelum mengisytiharkan keseluruhan unit berkenaan selamat digunakan secara keseluruhan.

“Bagaimanapun, blok lain di hospital masih boleh digunakan secara berterusan.

“Selepas siasatan dan laporan siap, kami akan membuat pembaharuan dalam sistem hospital dan tindakan susulan lain,” katanya pada sidang media di sini.

Jelasnya, saksi awal mendapati kejadian berlaku dari bilik rawatan di tepi unit ICU tetapi siasatan masih diteruskan dan enggan membuat sebarang spekulasi berhubung punca kejadian itu.

Beliau berkata, kebakaran wad di tingkat dua bahagian selatan ICU itu merebak cepat kerana ada alat bantuan pernafasan mengandungi gas oksigen digunakan pesakit.

Menurutnya, gas oksigen yang bersifat mudah terbakar ini menjadi antara sebab api marak dengan cepat dan sukar dikawal.

“Ada staf yang sudah pengsan kerana menghidu asap tebal dan ada staf yang cuba menyelamatkan pesakit tetapi tidak berjaya sehingga anggota bomba datang membantu.

“Seorang pesakit telah diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail sementara tiga kakitangan hospital masih mendapatkan sistem ventilasi pada masa sekarang,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, enam orang pesakit iaitu empat wanita dan dua lelaki maut akibat terperangkap dalam wad tersebut.

Subramaniam menegaskan pemeriksaan prosedur tahap keselamatan di HSA sentiasa dilakukan dan tidak timbul isu tiada pemeriksaan dibuat.

“Kementerian mempunyai satu skuad khas yang memantau semua hospital di negara ini dan mengenal pasti risiko dan mengatasinya. Kami juga tidak mahu kejadian ini berlaku,” katanya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian itu dan pihak hospital akan terus membantu dan memberikan sokongan. -MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA