Sharbat Si Mata Hijau Ditahan Miliki Dokumen Peribadi Palsu


PESHAWAR: Sharbat Gula pernah dikenali ramai apabila wajahnya menghiasi kulit depan majalah National Geographic, tetapi kali ini si mata hijau itu sekali lagi menjadi perhatian kerana ditahan menggunakan dokumen pengenalan diri palsu.

Sharbat, 44, ditahan Agensi Siasatan Persekutuan Pakistan (FIA) atas tuduhan menipu selepas siasatan dilakukan selama dua tahun di bandar ini yang terletak di barat laut Pakistan.

“FIA menangkap Sharbat Gula, seorang wanita Afghanistan kerana memiliki kad pengenalan palsu,” kata seorang pegawai Pihak Berkuasa Pendaftaran dan Pangkalan Data Kebangsaan (Nadra), Shahid Ilyas kepada agensi berita AFP.

Shahid juga berkata, FIA masih mencari tiga pegawai Nadra yang bertanggungjawab mengeluarkan kad pengenalan Pakistan kepada Sharbat.

Mereka dipercayai telah melarikan diri selepas penipuan itu didedahkan.

Dia memberitahu Sharbat boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda antara AS$3,000 (RM12,500) hingga AS$5,000 (RM20,800) jika mahkamah mendapat dia bersalah kerana melakukan penipuan.

Seorang pegawai Pakistan berkata, Sharbat memohon kad pengenalan dengan menggunakan nama Sharbat Bibi di Peshawar pada April 2014.

Wanita itu merupakan antara ribuan pelarian Afghanistan yang berjaya mengelak daripada sistem berkomputer Pakistan untuk memperoleh kad pengenalan.

Gambar Sharbat ketika berusia 12 tahun dirakam jurugambar Steve McCurry di kem pelarian di Pakistan pada 1984 menjadi kulit hadapan terkenal dalam sejarah majalah berkenaan.

McCurry yang melakukan pencarian selama 17 tahun akhirnya berjaya menemui semula Sharbat di sebuah kampung terpencil di Afghanistan pada 2002.

Pada ketika itu, wanita tersebut sudah berkahwin dengan seorang pembuat roti dan mempunyai tiga anak perempuan.

Seorang kakitangan NADRA memberitahu, seramai 2,473 warga asing, kebanyakannya rakyat Afghanistan, secara sukarela menyerahkan kembali kad yang diperoleh menerusi penipuan. – AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA