SFC Rampas Burung Terlindung, Tahan Empat Lelaki Indonesia Di Marudi


MIRI: Pegawai penguat kuasa Sarawak Forestry Corporation (SFC) di sini menyerbu satu lokasi di kawasan setinggan berhampiran Marudi selepas mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai wujudnya aktiviti memelihara burung di situ.

“Semasa serbuan, 16 ekor burung iaitu empat murai (Oriental Magpie-robins), 10 murai batu (White-rumped Shamas) dan dua tiung Hill Mynas).

“Dalam serbuan itu, empat lelaki warganegara Indonesia yang memelihara burung berkenaan turut ditahan kerana tidak memiliki lesen dikeluarkan oleh Kontroler Hidupan Liar yang membolehkan mereka memelihara burung berkenaan,” jelas kenyataan akhbar SFC kelmarin.

Menurut SFC lagi, murai, murai batu dan tiung adalah spesies terlindung di bawah Ordinan Hidupan Liar Terlindung 1998 dan adalah satu kesalahan memelihara burung spesies terlindung tanpa lesen.

Kesalahan di bawah ordinan itu boleh dikenakan denda RM10,000 dan penjara setahun.

Laporan turut dibuat di Balai Polis Miri dan kes itu telah diserahkan kepada pihak bertanggungjawab kelmarin untuk siasatan lanjut.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA