Serangan Berani Mati Ragut 22 Nyawa Di Majlis Perkahwinan


BEIRUT: Sekurang-kurangnya 22 maut dalam serangan dilancarkan pengebom bunuh diri pada satu majlis perkahwinan di wilayah Hasakeh, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) dan pasukan perubatan.

"Seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya dalam dewan di kampung Tall Tawil ketika majlis perkahwinan seorang anggota Pasukan Demokratik Syria (SDF), menyebabkan kematian 22 penduduk awam," kata ketua SOHR, Rami Abdel Rahman.

SDF adalah pasukan pakatan Arab-Kurdis yang memerangi Daesh di utara Syria.

Seorang saksi, Ahmad, yang cedera di kepala dalam letupan itu menceritakan saat pengebom berkenaan meletupkan diri.

"Ketika pengantin saling bertukar ikrar, saya melihat seorang lelaki berpakaian jaket hitam tebal berjalan melepasi saya.

"Dia kelihatan pelik dan beberapa saat kemudian berlaku letupan besar. Orang ramai jatuh dan saya melihat mayat berkecai," katanya.

SOHR dan pegawai Kurdis tempatan pada awalnya berkata, pengantin lelaki antara yang maut, tetapi salah seorang anggota keluarganya berkata kedua-dua pengantin selamat.

Sumber hospital di Hasakeh memberitahu ada lebih 20 mayat dan puluhan lagi cedera. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA