Seramai 150 Orang Terima Pingat Dan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak


KUCHING: Seramai 150 orang menerima pingat dan darjah kebesaran negeri Sarawak daripada Yang di-Pertua Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri semalam.

Presiden Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya Tan Sri Datuk Amar Md Raus Sharif dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Datuk Amar Bintang Kenyalang (D.A) yang membawa gelaran Datuk Amar.

Dua penerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Johan Bintang Sarawak (J.B.S) adalah bekas Pengarah Muzium Sarawak Dr Peter Mulok Kedit dan bekas Pengarah Pertanian Sarawak Julaihi Ismail.

Empat penerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Johan Bintang Kenyalang (J.B.K) adalah Profesor Dr Kopli Bujang, Kaunselor Abdul Razak Abdul Wahab, Khaider Ahmad Zaidel dan Narmal Singh.

Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C) pula dianugerahkan kepada Ismail Mohamad Hanis, Nicholas Sia, Abang Mat Ali Abang Masagus dan Chok Moi Soon.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor mengetuai penerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) bersama tiga penerima yang lain.

Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) pula dianugerahkan kepada lapan penerima termasuk Datin Angelina Celestine Ujang, isteri kepada Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, isteri Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar dan Perladangan Datuk Francis Hardin Hollis, Datin Simba Nalang dan Datin Dr Zaliha Abdullah, isteri Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Menteri Muda Urbanisasi Datuk Talib Zulpilip.

Selain itu, 15 orang menerima Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B), 20 orang penerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Ahli Bintang Sarawak (A.B.S), 27 penerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K), 25 orang penerima Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) dan 40 penerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Bentara Bintang Sarawak (B.B.S).

Turut hadir pada istiadat pengurniaan tersebut isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) Datu Jaul Samion, Konsul Agung Negara Brunei Darussalam Kartini Pengiran Tahir dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Datuk James Chan.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA