Senjata Ditemui, 9 Serah Diri Kes Tembak Di Sg Arip


KUCHING: Polis Sarawak berjaya menemukan selaras senapang patah yang disembunyikan di dalam semak dipercayai senapang yang digunakan untuk menembak mangsa dalam kejadian kes tembak mati seorang lelaki di Sungai Arip Balingian Isnin lalu.

Sepasukan anggota dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Sarawak bersama JSJ Mukah menahan seorang lelaki berusia 54 tahun di sebuah rumah panjang di Sungai Arip dan suspek berkenaan membawa pihak polis ke kawasan senapang patah tersebut disembunyikan pada jam 2.30 petang tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata, pada jam 12.30 tengahari tadi, seramai sembilan lelaki berusia dalam lingkungan 18 hingga 45 tahun tampil menyerah diri di Balai Polis Pusat Miri, empat daripada mereka adalah suspek-suspek dikehendaki seperti dalam hebahan media semalam.

“Kesemua lelaki berkenaan ditahan dan dieskot ke Mukah bagi menjalani siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kes berkaitan, seramai 22 individu ditahan bagi mmembantu siasatan berhubung kes ini sejak Isnin lalu yang terdiri daripada sepuluh penduduk rumah panjang dan 12 lelaki dari Miri.

Mazlan mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan siasatan khas JSJ Sarawak diketuai oleh SAC Dato Dev Kumar kerana berjaya menyelesaikan kes tembak mati ini dalam tempoh tiga hari.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada pasukan JSJ IPK Sarawak melalui laman twitter rasmi beliau. -Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA