Semua Majikan Wajib Guna e-Caruman Mulai 1 Jan 2017



KUALA LUMPUR - Mulai 1 Jan, 2017, semua majikan mesti menggunakan kemudahan dalam talian, e-Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara dalam talian bagi memasukkan sumbangan bulanan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata berkuat kuasa tarikh itu, Borang A (sistem manual bagi pembayaran) tidak lagi digunakan.

Sehingga September 2016, 414,411 majikan aktif sudah menggunakan e-Caruman bagi mengemukakan Borang A mereka secara dalam talian, membabitkan RM4.4 bilion.

Bagaimanapun, hanya 20.2 peratus atau 98,682 majikan memasukkan caruman bernilai RM1.57 bilion, secara dalam talian

"Sejak pelancaran kemudahan e-Caruman pada Januari 2013, ia memperoleh sambutan menggalakkan, dengan lebih 95 peratus majikan menggunakan kemudahan itu setiap bulan sehingga September 2016," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Transformasi Pembayaran Caruman, e-Caruman.

Shahril Ridza berkata memandangkan mereka sudah pun selesa menggunakan kemudahan itu, KWSP kini menggesa mereka mempertingkatkan proses membuat pembayaran dengan menggunakan FPX yang dilengkapkan dalam sistem e-Caruman.

Beliau berkata program itu selari dengan objektif KWSP untuk mengurangkan pergantungan kepada perkhidmatan kaunter, menyegerakan transaksi mudah alih serta meningkatkan pengalaman menyeluruh dalam urusan berkenaan.

FPX merupakan penyelesaian pembayaran dalam talian yang mudah dan terjamin, membolehkan pendebitan masa nyata akaun perbankan Internet pelanggan pelbagai bank.

Sementara itu, pelancaran e-Caruman hari ini bertujuan menggalakkan semua majikan berdaftar supaya mengoptimumkan penggunaan kemudahan itu semasa mencarum sumbangan KWSP bulanan masing-masing.

Program itu adalah usaha sama antara KWSP dan Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd, sebuah unit di Bank Negara Malaysia, serta operator FPX.

KWSP bekata integrasi dengan FPX akan membolehkan majikan membuat pembayaran secara dalam talian terus dari portal e-Caruman dan aplikasi mudah alih tanpa dikenakan caj transaksi.

Dana itu juga menjangkakan dapat merealisasikan tiga juta pendaftaran akaun individu secara dalam talian menjelang akhir tahun berbanding sejuta pada masa ini.

KWSP kini mempunyai 14 juta ahli. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA