Sembilan Berseluar Dalam Jalur Gemilang Perlu Tanggung Akibat - Menteri Australia


SYDNEY: Sembilan warga Australia yang ditahan polis kerana melucutkan seluar untuk menunjukkan seluar dalam yang tertera Jalur Gemilang di perlumbaan Grand Prix F1 Petronas Malaysia di Sepang, Ahad lalu perlu menanggung akibat "gurauan bodoh" mereka, kata menteri luar Australia pada Rabu.

Gambar dan video sekumpulan lelaki mengambil minuman keras daripada kasut mereka, sambil memakai seluar dalam yang memaparkan bendera Malaysia pada Ahad lalu mendapat bantahan di media sosial, dengan menyifatkan ia sebagai satu penghinaan.

Kes berkenaan turut mendapat perhatian di Australia, menyebabkan perdebatan mengenai toleransi negara itu berhubung kelakuan tidak senonoh yang dilakukan rakyatnya di luar negara.

"Tiada alasan untuk mengatakan ia merupakan tingkah laku warga Australia yang mana ia hanya sebagai gurauan yang dilihat perkara kecil di Australia, kerana anda perlu menghormati undang-undang negara yang anda lawati," kata Menteri Luar, Julie Bishop kepada saluran televisyen Australia, Channel Nine.

Bishop berkata, Kerajaan Australia menyediakan sokongan konsular kepada kesemua lelaki berkenaan, yang mana salah seorang daripada mereka berkhidmat untuk menteri industri pertahanan Australia, Christopher Pyne.

Kesemua lelaki direman bagi sementara menunggu siasatan kerana berkelakuan tidak sopan dan membuat provokasi.

Kumpulan itu meraikan kejayaan pelumba warga Australia, Daniel Ricciardo di perlumbaan Grand Prix F1 Petronas Malaysia. - Reuters

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA