Selepas ICU, Dewan Bedah HSA Pula Terbakar


JOHOR BAHRU: Selepas 24 jam tragedi yang menggemparkan seluruh negara dengan meragut nyawa enam pesakit, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sekali lagi gempar dengan kebakaran.

Kali ini insiden tersebut melibatkan sebuah dewan bedah di tingkat satu bangunan induk hospital berkenaan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.30 tengah hari Rabu, menurut laporan beberapa portal berita tempatan.

Suasana panik bermula apabila loceng penggera kecemasan berbunyi secara tiba-tiba dan beberapa saksi kejadian mendakwa ada melihat kepulan asap keluar daripada kawasan bilik pembedahan berkenaan.

Jentera pasukan bomba dan penyelamat dilihat bergegas memasuki kawasan tersebut untuk memadamkan api dan setakat ini belum ada lagi sebarang maklumat mengenai punca kebakaran yang terbaharu berkenaan.

Dalam pada itu, agensi berita rasmi Bernama pula melaporkan, semua petugas dan pesakit yang berada di dalam bangunan induk HSA telah pun diarahkan keluar ke kawasan selamat ditetapkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Difahamkan semasa kejadian, kebetulan hanya ada beberapa pesakit dan kakitangan HSA dalam bilik berkenaan, namun masih belum diketahui insiden baharu itu ada melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.-mynewshub

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA