Segerakan Isi Kekosongan Penjawatan Di Agensi Penguatkuasaan


KUCHING: Kekosongan penjawatan dalam perkhidmatan awam khususnya di agensi penguatkuasaan perlu segera diisi melalui pengambilan anggota dan pegawai baharu, disebabkan keadaan yang mendesak bagi keselamatan dan ketenteraman negara serta keperluan kesinambungan dalam operasi penguatkuasaan undang-undang secara konsisten.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Datuk Yaacob Md Sam, jumlah sebenar keanggotaan dan pegawai di agensi-agensi penguatkuasaan yang diisi pada masa ini adalah di bawah daripada jumlah penjawatan yang diluluskan kerajaan, yang tidak dapat diisi disebabkan pelbagai faktor.

“Keadaan atau kekangan yang berlaku itu telah me-nyebabkan sesetengah agensi tidak dapat beroperasi pada tahap optimum seperti yang dirancang awal, lebih-lebih lagi apabila sesetengah agensi mengalami tahap persaraan anggota yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi pada jumlah yang besar berbanding jumlah pengambilan baharu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Dialog Khas Meja Bulat EAIC bersama agensi penguatkuasaan Sarawak dan Sabah di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam sambil menyatakan bahawa terdapat 21 agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC dengan jumlah keseluruhan pegawai dan anggota seramai 445,000.

Antaranya ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai seramai 135,000 anggota dan pegawai, Kastam Diraja Malaysia (18,000), Jabatan Imigresen (14,420), Agensi Antidadah Kebangsaan (5,940), Jabatan Pengangkutan Jalan (7,703), Agensi Penguatkuasaan Maritim (4,616), Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (3,485) dan Jabatan Perikanan (2,143).

Dalam pada itu, Yaacob telah mendedahkan bahawa pihak berkuasa menganggarkan terdapat lebih kurang 1,000 lorong tikus di seluruh negara yang menjadi tempat kemasukan atau pendaratan pendatang asing.

Beliau menambah, media-media utama juga baru-baru ini melaporkan tentang penyeludupan rokok dari negara jiran yang dikatakan berleluasa bukan sahaja di Semenanjung Malaysia tetapi juga di Sabah dan Sarawak di mana dikatakan bahawa terdapat anggota penguat kuasa yang menjadi dalang dalam melindungi kegiatan tersebut.

Malah katanya, kegiatan judi haram dan judi online juga kelihatan masih berleluasa seolah-olah pihak penguatkuasaan telah hilang punca bagi mengawalnya.

“Masyarakat melihat perkara ini dengan sinis dan kejadian tersebut meningkatkan lagi persepsi negatif masya-rakat ke atas komitmen dan tahap integriti anggota dan pegawai agensi penguatkuasaan,” katanya.

Mengenai aduan berkaitan salah laku anggota dan pegawai agensi penguatkuasaan pula, Yaakob berkata sejak ditubuhkan pada 1 April 2011 sehingga setakat September 2016, EAIC telah menerima 1,657 aduan daripada orang ramai dan daripada jumlah tersebut, 1,138 aduan adalah berkaitan dengan salah laku anggota dan pegawai PDRM.

Katanya jumlah aduan terhadap PDRM tersebut membentuk hampir 70 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima oleh EAIC terhadap pegawai dan agensi penguatkuasaan.

“Saya memberikan statistik ini sebagai gambaran fakta masalah ketirisan integriti yang dihadapi oleh PDRM selaku agensi penguatkuasaan terbesar di negara ini di mana mereka adalah penguat kuasa yang diberikan kuasa terbesar dan meluas yang menguat-kuasakan mungkin beratus akta atau statut undang-undang,” katanya.

Yaakob juga berkata walaupun jumlah tersebut tidak besar berbanding jumlah keseluruhan keanggotaan PDRM, tetapi kes kematian orang tahanan dalam lokap PDRM misalnya berupaya meruntuhkan atau mencalarkan dengan teruk imej serta reputasi polis.

Jelasnya, kerapuhan integriti tersebut terjadi dalam kes kematian orang tahanan PDRM bernama Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur berumur 25 tahun yang mati pada 3 November 2014 di Kota Tinggi, Johor dan N. Dharmendran berumur 33 tahun yang mati pada 21 Mei 2013 di lokap D9, IPK Kuala Lumpur.

Satu lagi kes kematian akibat daripada perlakuan salah anggota polis ke atas orang tahanan ialah melibatkan Kugan Ananthan berumur 22 tahun yang mati pada 20 Januari 2009 di lokap Balai Polis Taipan, Subang Jaya Selangor.

Justeru, katanya EAIC mengalu-alukan iltizam tinggi yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan PDRM dalam usaha mempertingkat dan mengukuhkan budaya integriti dan disiplin dalam kalangan warga kerja PDRM melalui pelaksanaan Pelan Integriti PDRM 2016-2020 yang merupakan kesinambungan kepada Pelan Integriti PDRM 2010-2015 dalam usaha mewujudkan perkhidmatan kepolisan bertaraf dunia kepada masyarakat. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA