Sediakan Kemudahan Asas Sebelum Pindah Penduduk Setinggan

TINJAU: Dr Ting (kiri) bersama Hee semasa melawat Kampung Api Api, Lutong semalam.

MIRI: Pihak berkuasa diminta menyediakan kemudahan asas dan infrastruktur di skim penempatan semula di Tudan Desaras di sini sebelum memindahkan penduduk setinggan di Kampung Api Api, Lutong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon berkata kemudahan asas seperti air dan elektrik serta infrastruktur seperti saliran dan kumbahan adalah keperluan yang amat penting.

“Kemudahan air paip dan bekalan elektrik amat penting selain sistem saliran dan kumbahan kerana ia boleh mewujudkan persekitaran kotor dan mengundang penyakit,” katanya semasa melawat kawasan setinggan di Kampung Api Api Lutong semalam.

Beberapa penduduk setinggan di situ diarahkan berpindah ke Skim Penempatan Semula Tudan Desaras di Tudan namun mereka menolak kerana tiada kemudahan asas.

“Saya sudah melawat ke Tudan Desaras dan terdapat rumah di situ belum mempunyai kemudahan asas seperti air dan elektrik.

“Ketiadaan kemudahan ini khususnya elektrik menyukarkan anak-anak melakukan kerja sekolah dan membuat ulang kaji pada waktu malam,” katanya.

Dr Ting yang juga setiausaha Parti Tindakan Rakyat (DAP) Piasau berharap pihak berkuasa dapat mempercepat penyambungan elektrik ke kawasan itu selain menyediakan kemudahan lain.

Turut serta Timbalan Ketua DAP Miri Peter Hee dan Ahli Jawatankuasa DAP Hii Leh Kuang. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA