Sebanyak 60% Dari 20,000 Buaya Liar Di Sarawak Boleh Diburu


SIBU: Kebenaran bagi aktiviti pemburuan buaya liar dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat selepas perbincangan akhir mengenainya dijalankan oleh agensi berkaitan.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak , Sapuan Ahmad, berkata lesen pemburuan buaya itu hanya akan diberikan kepada rakyat tempatan, terutama penduduk di kawasan berhampiran sungai dikenalpasti mempunyai populasi buaya yang tinggi. "Setakat ini, kita menganggarkan lebih 20,000 buaya liar dan mencapai saiz dewasa di seluruh negeri.

Keseluruhannya, 13 sungai dikenalpasti mencatat populasi buaya tinggi, dengan purata 14 ekor untuk setiap kilometer sungai.

"Antaranya Sungai Batang Sadong, Sungai Batang Lupar dan Sungai Batang Salak," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Hutan Sarawak 2016, di sini malam tadi.

Mengenai kaedah pengawalan pemburuan, beliau mendedahkan sistem '60:40' akan diperkenalkan.

"Ini bermakna enam daripada 10 ekor buaya dibenarkan diburu, namun fokus akan diberikan kepada kawasan berpopulasi tinggi dahulu bagi mengurangkan kes serangan buaya di lokasi panas.

"Kita harap kelompok buaya yang tinggal itu nanti adalah berpasangan. Namun, kita percaya kaedah ini boleh dilaksanakan kerana buaya sangat cepat membiak kerana reptilia ini mampu bertelur sehingga 80 biji telur pada satu-satu masa," katanya.

Sapuan berkata, hasil bancian di sebuah kawasan paya di negeri ini pada 2008 menunjukkan lokasi itu memiliki hanya 313 buaya, namun meningkat kepada 800 ekor menjelang 2014.

"Pemburu boleh memburu mengikut cara yang mereka suka, ini termasuk menggunakan senjata api ataupun menggunakan mata kail. Itu terpulang kepada mereka" katanya.

Namun, beliau menasihati pihak yang berminat memburu buaya itu nanti agar mencari pembeli bagi produk daging dan kulit buaya terlebih dahulu sebelum mula memburu.

"Difahamkan, daging buaya dijual dengan harga RM38 sekilogram di pasaran, harga kulit pula boleh mencecah ribuan ringgit. Adalah satu kerugian jika tiada pembeli dan buaya hanya dibiarkan menjadi bangkai tanpa pulangan ekonomi kepada pemburu.

"Kulit buaya liar juga dipercayai lebih berkualiti berbanding buaya diternak. Mungkin faktor seperti pemakanan dan habitat asal haiwan ini mempengaruhi kualiti kulit haiwan itu," katanya.

Seramai 72 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Hutan Sarawak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang masing-masing pada majlis itu. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA