Search Tak Terkejut, Sedia Berdepan Saman Afjets



KUALA LUMPUR: Vokalis Search, Amy sedia berdepan saman yang difailkan bekas penganjur Konsert 35 Tahun Search, Afjets Sdn Bhd, di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pagi tadi.

Katanya, beliau tidak terkejut sebaik saja dimaklumkan berita terbabit, malah akan tetap mempertahankan diri.

"Saya tidak terkejut pun. Mereka boleh teruskan (saman), tetapi kami tetap akan mempertahankan diri," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Mak Cun D'Wale di sini, sebentar tadi.

Dalam tuntutannya, Afjets sebagai plaintif menamakan Suhaimi Abd Rahman, Noordin Mohd Taib, Hamzah Mohd Taib dan Nasir Daud sebagai defendan.

Search sepatutnya mengadakan kerjasama dengan Afjets untuk konsert pada 30 Ogos lalu. Bagaimanapun, hubungan kedua-dua pihak menjadi keruh berikutan beberapa isu membabitkan bayaran dan kekeliruan dengan seorang lagi anggota kumpulan itu, Yazid.

Amy bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai perkara itu, sebaliknya menunggu kepulangan peguam Search, Yusmadi Yusuf, dari luar negara sebelum membuat kenyataan susulan.

"Saya pun baru saja mendapat tahu yang mereka (Afjets) memfailkan saman itu daripada peguam saya. Buat masa ini, beliau berada di luar negara.

"Kami perlu menunggu beliau balik, barulah kami akan keluarkan kenyataan," katanya.

Afjets hari ini melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates memfailkan saman RM494,000 terhadap empat anggota kumpulan berkenaan berhubung sidang media dan pembatalan Konsert 35 Tahun Search.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA