Sarawak Tidak Harap 'Belas Kasihan' Pasukan Lain


KUCHING: Selepas Pahang diberikan kemenangan percuma sekaligus melonjak ke tangga kelapan Liga Super 2016, Sarawak terpaksa menang menentang PDRM malam esok di Stadium Negeri sekiranya mahu terus kekal dalam liga utama musim depan.

Keadaan nampaknya sukar buat anak buah David Usop walaupun sebelum ini Sarawak hanya perlu mencatatkan keputusan setidak-tidaknya seri dalam aksi terakhir liga.

Kesilapan tidak boleh berlaku menentang PDRM, jika silap Liga Perdana menanti Sarawak tahun depan.

Bagaimanapun David menegaskan, anak buahnya tidak mengharapkan ihsan pasukan lain seperti Terengganu, Pulau Pinang atau PDRM.

"Apa yang boleh saya katakan Pahang sudah terselamat dan kita tidak mengharapkan keputusan pasukan lain sebaliknya perlu fokus pada perlawanan terakhir," katanya.

PDRM menurutnya adalah pasukan yang sukar kerana sebelum ini pasukan tersebut beraksi pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

"Mereka bermain dalam tempoh dua minggu manakala kita tidak bermain dan berehat panjang.

"Namun kita akan mempamerkan aksi terbaik untuk meraih kemenangan dan kekal dalam Liga Super," ujarnya.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA