Sarawak Tidak Amal Dasar Diskriminasi Kaum



MUKAH: Sarawak tidak mengamalkan dasar diskriminasi kaum dalam apa sahaja bidang termasuk aspek pendidikan sejak merdeka, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Jelasnya, tidak seperti pada era kolonial dahulu kerana kawasan pesisir pantai tidak mempunyai kemudahan pendidikan sempurna.

“Sebelum penubuhan Malaysia, tiada satu pun sekolah menengah di kawasan pesisir pantai,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Kolej Laila Taib Kampus Mukah di sini semalam berhadapan Politeknik Mukah.

Jelas Tun Taib, ia berkemungkinan berkait rapat dengan dasar diskriminasi kaum mengenai pelbagai aspek termasuk pendidikan serta pembangunan ketika kolonialisasi.

“Berbeza setelah merdeka sehingga sekarang, dasar kerajaan tidak pernah mengetepikan semua komposisi kaum dalam pendidikan atau pembangunan secara keseluruhan,” katanya.

Ini kata Tun Taib, termasuk kawasan tepi pantai juga kawasan terletak jauh di pedalaman.

Malah jelasnya, dasar ini terbukti kerana terdapat pelbagai kaum mengecapi kejayaan dalam aspek pendidikan seterusnya kerjaya.

Tun Taib menambah, bagamanapun, kejayaan semua dasar berhubung rapat dengan kejayaan sosioekonomi serta perpaduan dikecapi di negeri ini.

Beliau setelah itu menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kolej Laila Taib Kampus Mukah yang pembinaannya dijangka dilaksanakan seawal tahun 2017.

Turut hadir Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah, Timbalan Pengerusi Yayasan Sarawak Datuk Rashid Azis, Pengarah Juara Cahya Sarawak Sdn Bhd (Juara Cahya) Datuk Seri Shahrizal Mohd Ishak serta isterinya yang juga Penasihat Juara Cahya Datin Seri Elly Zalilah Md. Yusof serta dif-dif kenamaan lain. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA