Sarawak Mesra Perniagaan


KUCHING: Sarawak mengamalkan dasar mesra perniagaan dengan sentiasa menerima pelabur asing sah yang ingin mengembangkan perniagaan mereka di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata dasar mesra perniagaan yang diamalkan di peringkat kerajaan pusat dan negeri adalah konsisten sejak 1950-an bermula sebagai negara pengimport dan negara perindustrian sehingga sekarang.

“Dasar mesra perniagaan kita telah membawa kejayaan demi kejayaan. Kita mendapat pelaburan daripada pelabur Jepun, Korea, Britain dan Amerika.

“Malah kita mengenakan syarat dan terma yang mesra kepada pelaburan asing di negara ini amnya,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kemuncak Perniagaan & Pelaburan Sarawak Edisi Ketiga: Menuju 2020: Mempercepatkan Pertumbuhan dan Pembangunan di sebuah hotel di sini semalam.

Adenan yang juga Menteri Kewangan berkata Sarawak sentiasa mengalu-alukan pelabur asing melabur di negeri ini dengan menyediakan kemudahan, persekitaran dan tenaga elektrik yang murah kepada industri.

Beliau berkata ekonomi dunia yang tidak memberangsangkan ketika ini disebabkan kejatuhan harga minyak serta komoditi Malaysia dan Sarawak khasnya perlu melakukan sesuatu untuk memulihkan keadaan iaitu dengan meningkatkan jumlah pelaburan asing.

“Tenaga elektrik yang murah dan tanah yang luas, suatu yang boleh kita tawarkan.

“Siapnya Empangan Hidroelektrik Bakun, Murum tambahan kepada Batang Ai disusuli beberapa empangan dirancang, Sarawak dapat menyedikan tenaga elektrik murah, antara tarikan pelaburan asing melabur di sini,” katanya.

Sebagai contoh katanya, Estet Perindustrian Samalaju dan kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sudah mula menampakkan pelabur asing melabur di situ dengan angka yang besar.

“Manfaatnya sudah tentu banyak peluang perniagaan disediakan dan tanggungjawab kerajaan negeri ialah menyediakan tenaga kerja terlatih dalam bidang kemahiran serta teknikal,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Adenan berkata adalah menjadi impian Sarawak untuk mempromosikan pembangunan sosioekonomi sebagai pemangkin kepada perubahan.

Pelbagai projek dalam beberapa tahun lalu telah memberi sumbangan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara secara keseluruhannya.

“Kita (Sarawak) merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Malaysia, berjumlah RM118.9 bilion pada 2015,” katanya.

Bagaimanapun katanya masih belum mencapai potensi sepenuhnya, masih banyak ruang untuk pertumbuhan dan pembangunan.

Ketika ini katanya, sektor utama di Sarawak ialah sektor perkhidmatan terdiri daripada aktiviti ekonomi (33.1 peratus), pengilangan (27.2 peratus), perlombongan dan kuari (22.1 peratus), pertanian (14.3 peratus) dan pembinaan (tiga peratus).

Ujarnya, setiap bidang masih banyak perlu dibangunkan untuk mencapai potensi sepenuhnya.

“Pelancongan sebagai contoh, pada 2015, Sarawak merekodkan 7.3 juta kedatangan pelancong dan majoriti adalah pelancong asing. Dunia tertarik dengan keunikan biodiversiti dan warisan budaya Sarawak,” katanya.

Mengenai persidangan tersebut Adenan berkata ia memainkan peranan penting dalam melahirkan kesedaran mengenai peluang perniagaan dan pelaburan yang banyak di Sarawak.

Ia bertindak sebagai landasan membawa pemimpin-pemimpin daripada sektor perniagaan daripada pelbagai industri, pegawai kerajaan, pelabur, ahli akademik dan sebagainya.

“Pelaburan daripada komuniti perniagaan sangat penting untuk pembangunan Sarawak dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Terima kasih kepada ASLI (Institut Kepimpinan dan Strategi Asian) kerana menganjurkan persidangan ini dan menghimpun semua pihak berkepentingan,” katanya.

Hadir sama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kemudahan Awam Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah ASLI Tan Sri Datuk Dr Michael Yeoh.UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA