Sarawak dapat manfaat daripada AEC, AFTA


KUCHING: Sarawak akan mendapat manfaat daripada inisiatif Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) apabila projek mendalamkan Sungai Sarawak siap sepenuhnya pada 2019.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata apabila projek itu siap, Sungai Sarawak akan menjadi lebuh raya perkapalan antarabangsa.

Beliau berkata bagi tujuan itu Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM360 juta pada Februari lalu.

Katanya kerja-kerja mengorek dasar Sungai Sarawak bertujuan menambahkan lagi kedalaman sungai bagi membolehkan Sungai Sarawak dilalui kapal-kapal besar.

“Sistem pengangkutan air di negeri ini sudah lama dihadkan oleh Sungai Sarawak yang cetek yang hanya membolehkan kapal kecil berlabuh di Pelabuhan Kuching.

“Apabila projek itu siap nanti, Sungai Sarawak akan menjadi lebuh raya perkapalan antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kemuncak Perniagaan & Pelaburan Sarawak Edisi Ke-3: Menuju 2020: Mempercepatkan Pertumbuhan dan Pembangunan di sebuah hotel di sini semalam.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata kerja tanah Lapangan Terbang Mukah sudah siap 93 peratus dan fasa kedua projek itu akan bermula pada suku pertama tahun depan.

Beliau memberitahu, Lapangan Terbang Mukah yang dianggarkan menelan belanja RM341 juta dibina bagi menggantikan STOL (Landasan berlepas dan pendaratan pendek pesawat) sedia ada di Mukah.

“Kerajaan pusat juga mengutamakan projek menaik taraf Lapangan Terbang Miri dengan memperuntukan RM285 juta bagi membina dua laluan teksi dan membesarkan tempat parkir, kini di peringkat akhir pembinaannya,”jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata kerajaan komited untuk masa depan yang hijau terutama dengan mengambil kira pengurusan hutan lebih baik dan mengawal aktiviti pembalakan dalam Estet Hutan Kekal (PFE) di negara ini.

Selain pematuhan undang-undang alam sekitar yang ketat dan mengenakan hukuman berat kepada pihak melakukan pencemaran, tambahnya.

“Contoh lain kepada komitmen kerajaan ialah membina Sistem Pengurusan Sisa Buangan Bersepadu (IWMS) bagi menampung sisa domestik dan berjadual daripada Taman Perindustrian Samalaju dan Bandar Baharu Samalaju. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA