SAR Dilancar Cari Warga Emas Hilang


SIBU: Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki dilancarkan pagi semalam selepas mangsa dikenali sebagai Chaing Segat, 69, dilapor hilang apabila gagal pulang ke rumah di Rh Banying, Skim Sekuau, 40 kilometer dari sini sejak Ahad, 16 Oktober lepas.

Mangsa difahamkan keluar dari rumah untuk menziarahi anak saudaranya di kawasan Nanga Sekuau pada jam 6 pagi hari kejadian.

Menurut anak mangsa dikenali sebagai Eit Chaing, usaha mencari telah dilakukan ahli keluarga serta penghuni rumah panjang namun mangsa masih gagal dijumpai.

“Ayah keluar berjalan kaki memakai baju bercorak hitam putih dan hanya membawa sehelai cadar berwarna biru.

“Katanya, dia hendak pergi ke rumah saudara di Nanga Sekuau, lebih kurang setengah jam perjalanan dari rumah panjang kami,” kata Eit sambil menambah ayahnya kurang sihat, malah sering lupa.

Bimbang sesuatu tidak diingini, anak mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Tapang pada jam 2 petang kelmarin.

Pasukan SAR disertai empat anggota terdiri daripada pasukan khas Multi Skills Team (MUST) yang diketuai oleh Ketua Balai Bomba Sungai Merah, PKPgB Terry Robson dan seorang dari BBP Sibu telah bergerak ke lokasi pada jam 8.16 pagi semalam.

Sehingga jam 5 petang semalam, pasukan SAR masih belum menemui sebarang petanda mengenai kedudukan mangsa hilang.

“Kami mengalami kesukaran untuk mengenal pasti ‘searching point’ atau arah tuju sebenar mangsa kerana masih kurang jelas,” kata Terry yang mengetuai operasi SAR.

Oleh itu, ahli keluarga mangsa dinasihat untuk meuar-uarkan berita mengenai kehilangan Chaing dalam kalangan sanak-saudara.

Sehingga berita ini ditulis, mangsa masih belum dijumpai dan operasi SAR sedang dijalankan.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan mangsa diminta untuk menghubungi Sarjan Tundoi menerusi talian 013-8330419 atau Balai Polis Stapang (084-894001) atau balai polis terdekat.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA