Sambutan Hari Sukan Negara Bakal Disambut Meriah


KUCHING: Sambutan Hari Sukan Negara pada 8 Oktober 2016 ini bakal disambut meriah memandangkan tiada perayaan di peringkat Negeri dan Kebangsaan.
Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian pada sidang media Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak 2016 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, Hari Sukan Negara diadakan bertujuan untuk merealisasikan hasrat dan inspirasi kerajaan bagi menggalakkan rakyat bersukan dan mengamalkan aktiviti sukan sehingga ia menjadi satu budaya hidup.

“Sasaran penyertaan Hari Sukan Negara tahun ini adalah seramai enam juta orang iaitu 20 peratus daripada populasi penduduk di Malaysia.

“Sasaran pelaksanaan pula merangkumi Peringkat Kebangsaan, Peringkat Negeri, Peringkat Daerah, Peringkat Parlimen dan Peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.

Sambutan Hari Sukan Negara telah ditetapkan pada setiap hari Sabtu, minggu kedua pada bulan Oktober setiap tahu.

Justeru, semua lapisan masyarakat adalah diseru untuk menyertai dan melakukan aktiviti sukan pada 8 Oktober nanti.

Beliau berharap adanya sambutan Hari Sukan Negara akan menjadi satu medium untuk meningkatkan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan melibatkan diri dalam aktiviti dan program sukan, seterusnya menjadikan Malaysia amnya sebuah negara bersukan, khususnya untuk negeri Sarawak sebagai negeri bersukan.

“Cabutan bertuah akan turut diadakan pada hari perasmian pelancaran Hari Sukan Negara,” jelasnya kepada media. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA