Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Di Tebingan Sungai Kuching Sabtu Ini


Kuching : Pelbagai aktiviti menarik disusun bagi memeriahkan sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Kebangsaan (HASN) 2016 yang dijadual di Tebingan Sungai Kuching di sini pada Sabtu ini.

Majlis perasmian sambutan HASN 2016 dengan tema 'Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama' dijangka disempurnakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada pukul 8 pagi, menurut Jabatan Penerangan Sarawak dalam satu kenyataan di sini.

Program HASN akan berlangsung secara serentak di seluruh negara bagi meningkatkan komitmen kerajaan negeri dan memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam aspek pengurusan alam sekitar negara.

Antara aktiviti menarik yang dirancang dengan kerjasama swasta, sekolah, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini seperti Cabaran Kayuhan Hijau 24 Tanpa Henti pada hari Jumaat, Enviro Ride, Senamrobik, Pameran Agensi Kerajaan dan Karnival Usahawan.

Turut diatur adalah Kuiz Alam Sekitar, Pameran Rekacipta Daripada Bahan Buangan, Saringan Kesihatan Percuma, Promosi Pengutipan Bahan Buangan Elektronik, Pemeriksaan Percuma Kenderaan serta Ujian Pelepasan Asap Kenderaan; dan Cabutan Bertuah.

"Beberapa aktiviti berlangsung pada pagi Sabtu di Tebingan Sungai Kuching seawal pukul 6.30 pagi seperti senamrobik dan Enviro Ride, manakala aktiviti lain iaitu pameran, saringan kesihatan, promosi kutipan bahan buangan elektronik dan pemeriksaan kenderaan akan berlanjutan hingga pukul 5 petang," menurut kenyataan itu.

Selain meningkatkan kesedaran alam sekitar di kalangan masyarakat, HASN juga menggalakkan kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

Menurutnya penjenamaan semula 'Minggu Alam Sekitar Malaysia' kepada 'Hari Alam Sekitar Malaysia' adalah hasil cetusan idea Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA