Salah Mendarat Kerana Tak Guna Alat Navigasi


JAKARTA: Sebuah pesawat penumpang Indonesia tersilap mendarat di lapangan terbang yang salah selepas juruterbang mengabaikan peralatan navigasi dan membuat pendaratan secara visual.

Pesawat Sriwijaya Air yang dalam penerbangan dari Medan dijadualkan mendarat di Padang tetapi sebaliknya kapal terbang itu mendarat di sebuah landasan milik tentera.

Kejadian berlaku pada 13 Oktober 2012 tetapi Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (NTSC) menyiarkan laporan akhir pada Isnin lalu.


Ketika kejadian pesawat Penerbangan SJ-21 yang membawa 102 penumpang dan kru sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau di Padang.

Bagaimanapun, ketika membuat persediaan untuk mendarat, juruterbang melihat Lapangan Terbang Tabing yang terletak kira-kira 12 kilometer.

Menurut laporan NTSC, juruterbang memutuskan untuk mendarat di lapangan terbang tentera itu kerana menyangka peralatan navigasi pesawat mengalami kerosakan.

Maklumat yang tidak jelas dalam carta pendaratan juga menyebabkan juruterbang tidak sedar mereka menuju ke lapangan terbang yang salah.

Faktor kali pertama juruterbang dan pembantunya terbang ke Medan antara penyumbang kepada kesilapan itu.

Namun, juruterbang berjaya mendaratkan pesawat itu di lapangan terbang berkenaan tanpa sebarang insiden. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA