Sakan Kaut Harta


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahan dua pegawai kanan Kerajaan Sabah, hari ini.

Mereka disyaki menyalahgunakan kuasa dengan menguasai dan memberikan projek kendalian jabatan kepada saudara masing-masing.

Sumber SPRM berkata, dua lelaki masing-masing berusia 51 dan 54 ditahan di pejabat mereka di Kota Kinabalu, Sabah kira-kira 9.15 pagi ini.

Menurutnya, turut dirampas kira-kira RM3 juta tunai yang disimpan dalam peti besi di pejabat seorang daripada dua pegawai kanan itu.

"Kedua-dua pegawai kanan yang berjawatan Pengarah dan Timbalan Pengarah itu mengendalikan projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion sejak 2010.

“Penyalahgunaan kuasa ini dipercayai bermula sejak 2010 hingga kini. Siasatan awal mempercayai mereka sudah mengumpul harta kekayaan melebihi RM50 juta," katanya.

Menurutnya, peruntukan RM3.3 bilion ini adalah peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan dan tidak termasuk peruntukan kerajaan negeri.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu tetapi enggan mengulas lanjut.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA