RUU 355: Ustaz Kazim sokong Harussani


SUNGAI MANIK - Pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias menyatakan sokongan terhadap gesaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang meminta semua ahli Parlimen beragama Islam memberi sokongan penuh kepada pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355.

Menurut Kazim, tidak kira jika seseorang itu ahli Parlimen mahupun rakyat biasa, apabila mereka beragama Islam ia wajib menyokong.

"Apabila kita beragama Islam sama ada sebagai ahli Parlimen atau tidak sesuatu perkara yang menaikkan martabat Islam wajib diberi sokongan penuh.

"Kerana itu, saya menyokong gesaan Mufti Perak supaya semua Ahli Parlimen Islam memberi sokongan penuh tanpa perlu ada unsur politik dalam perkara ini," katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan Ceramah Perdana Maal Hijrah, di Masjid Jame' Simpang Empat, Balai Polis, Chenderong Balai, malam tadi.

Terdahulu Harussani dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian meminta semua ahli parlimen beragama Islam daripada Pas, Umno dan PKR menyatakan sokongan penuh bagi pindaan RUU yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat.

Tambah Kazim, apabila disebut mengenai hukum Islam semua umatnya tidak kira pemimpin mahupun rakyat perlu bersatu hati.

"Kita melakukan perkara yang baik iaitu memartabatkan kuasa mahkamah syariah, oleh itu semua umat Islam di negara ini perlu bersatu untuk menjadi lebih kuat.

"Pangkah la yang mana kita inginkan tetapi bila masuk hukum agama kita perlu bersatu dan bukan berpecah belah," katanya semasa menyampaikan ceramah berkenaan.-SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA