Rumah Terbakar Ketika Penghuni Menonton Televisyen


KUCHING: Seorang penduduk di Kampung Lintang yang sedang menonton televisyen sekitar jam 6 pagi tadi dikejutkan dengan kebakaran rumahnya.

Abdul Khalid Shuib,49, yang mengusahakan perniagaan pelamin berkata, api dipercayai bermula dari bahagian bawah rumah.

"Saya menendang semua pintu bilik dan mengarahkan semua yang berada dalam rumah untuk keluar menyelamatkan diri selepas asap mula memasuki ruang atas rumah.

"Ketika kejadian isteri, anak dan adik saya sedang tidu," katanya.

Disebalik insiden tersebut, dia tetap melahirkan rasa bersyukur kerana kejadian tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Rumah tradisi tersebut difahamkan merupakan milik keluarga mertua Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.

Morshidi sendiri turut berada di lokasi kejadian bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Nor Hisham Mohamed.

Sementara itu, Ketua Bomba Zon Kuching, Tiong Ling Hii menjelaskan, tekanan air rendah menyukarkan pihak bomba memadamkan kebakaran tersebut.

Menurutnya, panggilan diterima sekitar jam 6.11 pagi dan 29 anggota dikerahkan ke lokasi untuk kerja memadam.

"Kami terpaksa menggunakan sumber air terbuka dari Sungai Sarawak kerana tekanan air rendah," ujarnya.-Sarawakiana




No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA