Rotan Lelaki Jika Ponteng Solat Jumaat


Puwakarta (Jawa Barat) – Pada setiap Jumaat, kelibat seorang wanita berjubah hitam dan memegang rotan sambil berjalan dengan wajah garang sangat digeruni kaum lelaki di kampung Empangsari di Desa Plered di sini.

Apabila wanita itu muncul, kaum lelaki yang leka melepak di warung atau di tepi jalan raya segera bergegas ke mana-mana masjid yang berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat.

Sejak hampir 10 tahun lalu, itulah aktiviti Siti Hindun, 64, yang meronda di setiap ceruk kampungnya bagi memastikan tiada lelaki dewasa ponteng solat Jumaat.

Siti Hindun atau lebih dikenali sebagai Mak Gober oleh penduduk kampung berkata, dia membuat rondaan itu semata-mata kerana ibadah.

“Apa yang penting kaum lelaki wajib solat Jumaat dan tiada yang berkeliaran di jalan raya,” katanya ketika dipetik akhbar Radar Karawang.

Menurutnya, sejak 2007, dia dan beberapa rakannya meronda setiap ceruk kampung termasuk kedai, restoran dan lorong kecil bagi mencari lelaki yang ponteng solat Jumaat.

“Kalau ada yang saya jumpa berkeliaran ketika waktu solat Jumaat saya akan pukul mereka.

“Saya bukannya pukul dengan kuat tetapi hanya mahu membuatkan mereka malu dan sedar kewajipan sebagai orang Islam,” jelasnya.

Siti Hindun memberitahu, dia mengambil tindakan itu selepas ramai orang kampung mengadu sikap sebilangan lelaki yang tidak pergi ke masjid untuk solat Jumaat. – Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA