Rompak Di Miri, Dua Beranak Diacu Pisau


MIRI: Dua beranak terpaksa berdepan detik cemas selama 10 minit setelah diacukan sebilah parang oleh dua perompak bertopeng dalam satu kejadian rompakan yang berlaku di sebuah rumah di kawasan Luak di sini pagi semalam.

Bagaimanapun, mangsa seorang suri rumah berusia lingkungan 30-an dan anaknya yang berusia tiga tahun bernasib baik kerana tidak diapa-apakan dalam kejadian itu.

Dalam kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi itu, mangsa tiba-tiba terbangun setelah terdengar bunyi bising seseorang menggoncang jerigi besi di bahagian pintu belakang.

Mangsa memberanikan diri keluar dari bilik tidurnya untuk melihat apa yang berlaku dan serentak dengan itu dia ternampak dua lelaki bertopeng masing-masing bersenjatakan sebilah parang dan sabit memecah cermin tingkap dan menendang pintu menghubungkan dapur basah dan dapur kering.

Melihat kejadian itu, mangsa terus meluru masuk ke dalam bilik tidur dan cuba mengunci pintu dari dalam.

Bagaimanapun, usahanya gagal apabila kedua-dua perompak terbabit bertindak mengekorinya dan terus menolak pintu bilik tidur mangsa sebelum sempat menguncinya dari dalam.

Salah seorang daripada suspek terbabit mengacukan sebilah parang ke arah mangsa sambil mengarahkannya menyerahkan barang kemas dan wang.

Mangsa ketakutan terpaksa akur menyerahkan semua barang kemas dan wang tunai dianggarkan bernilai lebih RM6,000 kepada perompak terbabit sebelum kedua-duanya beredar setelah berada selama 10 minit di rumah mangsa.

Difahamkan, mangsa sekeluarga mendiami rumah itu sejak sebulan lalu dan hanya dua keluarga termasuk mangsa berpindah ke situ yang merupakan kawasan perumahan baharu.

Mangsa hanya tinggal berdua di rumah itu manakala suaminya bekerja di Batu Niah.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat mangsa beberapa jam selepas kejadian.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA