RHB Research jangka BR1M 2017 bertambah RM100

KUALA LUMPUR: Bajet 2017, yang akan diumumkan pada 21 Oktober dijangka lebih tinggi sedikit berbanding bagi tahun ini, kata RHB Research.

Dalam laporan ‘Budget Outlook 2017’ yang dikeluarkan hari ini, RHB Research berkata keutamaan akan diberikan kepada projek berpaksikan rakyat seperti perumahan mampu milik, bekalan elektrik di luar bandar, bekalan air dan pengangkutan awam.

“Kami menjangka kerajaan akan terus mengukuhkan kedudukan fiskalnya walaupun kadarnya mungkin agak perlahan berbanding jangkaan sebelum ini meskipun cabaran amat besar dalam keadaan kelembapan ekonomi global, harga komoditi rendah bagi minyak mentah dan getah serta penurunan nilai ringgit,” kata firma penyelidikan itu.

Ia berkata meskipun cabaran besar kepada usaha pengukuhan fiskalnya, kerajaan dijangka terus komited untuk mengurangkan lagi defisit bajetnya, walaupun hanya sedikit kepada 3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2017, daripada -3.1% daripada KDNK dalam Bajet 2016.

RHB Research berkata kerajaan akan terus bergantung kepada pindahan pendapatan bagi membantu kumpulan pendapatan rendah dan seterusnya menyokong perbelanjaan pengguna yang menyumbang lebih 50% daripada ekonomi.

“Ini kemungkinan dilakukan menerusi pengembangan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang dijangka berjumlah RM5.9 bilion pada 2016 bagi sebahagian besar isi rumah dan individu.

“Justeru, kami membayangkan kerajaan meningkatkan lagi peruntukan BR1M kepada RM6.6 bilion pada 2017.

“Susulan kenaikan RM50 dalam pemberian BR1M pada 2016, kami menjangkakan pembayaran BR1M meningkat sebanyak RM100 lagi kali ini kepada RM1,100 (isi rumah dengan pendapatan di bawah RM3,000), RM900 daripada RM800 (pendapatan isi rumah RM3,000-RM4,000), RM500 daripada RM400 (individu dengan pendapatan di bawah RM2,000),” kata firma itu.

Oleh kerana Kerajaan masih berdepan tekanan dari segi kutipan hasil, RHB Research berkata, ini kemungkinan akan menyebabkan penangguhan lagi potongan cukai syarikat dan pendapatan.

“Sebaliknya, kami menjangkakan kerajaan meneruskan pelepasan cukai sama ada kepada jajaran pendapatan lebih besar atau dengan menaikkan jumlah pelepasan,” kata firma itu.

Bagi meningkatkan lagi pemilikan rumah, RHB Research berkata kerajaan mungkin melonggarkan kaedah penilaian pinjaman, meningkatkan peruntukan Akaun 2 KWSP dan lebih banyak skim perumahan Rakyat 1Malaysia diperkenalkan.

“Kami melihat kerajaan terus menyediakan potongan cukai dan faedah tambahan, termasuk melanjutkan kemudahan pinjaman kepada PKS bagi merangsangkan pertumbuhan mereka bagi tempoh-tempoh akan datang,” kata firma penyelidikan itu.

RHB Research berkata kerajaan mungkin mengecualikan pembeli kereta pertama kali daripada membayar duti eksais.

Di bawah sektor pembinaan, kerajaan dijangka mengukuhkan komitmennya bagi pelaksanaan rangkaian transit kereta api dalam Bajet 2017, kata firma itu. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA